Shafie Gesa Rakyat Sabah Maafkan Dr Mahathir Atas Kesilapan Lampau

Rakyat Sabah digesa belajar dari pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mampu memaafkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed atas semua kesilapan lampau semasa mentadbir negara ini selama 22 tahun.

Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Hj Shafie Apdal berkata rakyat seharusnya mula memikirkan sebab yang mendorong dua pemimpin besar Pakatan Harapan (PH) yang dahulu pernah melemparkan pelbagai kritikan terhadap Dr Mahathir, tetapi kini sanggup bekerjasama dengan bekas pemimpin nombor satu negara itu.

Katanya, Dr Mahathir sebagai manusia biasa tidak pernah lari dari membuat kesilapan, namun beliau telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan rakyat sewajarnya bersedia memaafkan pemimpin itu.

“Kita manusia bukannya sempurna. Masing-masing ada kekurangan. Dr Mahathir memohon maaf dan permohonan maafnya diterima Anwar dan Lim. Kita patut tanya mengapa mereka terima permohonan maaf itu?

“Kerana keinginan terhadap perubahan lebih kuat daripada kemarahan. Demi negara, mereka sedia ketepikan masa lalu supaya kerajaan Malaysia digantikan dengan kerajaan yang lebih baik,” katanya di sesi bertemu rakyat di Kota Belud, Sabah hari ini.

Bekas Naib Presiden Umno itu turut mengingatkan rakyat Sabah bahawa Umno diwujudkan semula oleh Dr Mahathir pada 1985 selepas diharamkan, namun pemimpin itu juga kini sedang bekerja keras untuk menumbangkan parti terbesar Melayu itu demi kepentingan rakyat.

Tambah beliau, Barisan Nasional mengetahui bahawa sokongan terhadap pembangkang semakin meningkat di Semenanjung sehingga memaksa parti itu melakukan segala taktik termasuk memburukkan Dr Mahathir agar terus mendapat sokongan rakyat Sabah dan Sarawak.

“BN berasa bimbang jadi mereka cuba memburukkan Dr Mahathir. Kita tahu Dr Mahathir berusia 92 tahun tetapi dia masih ada keupayaan berfikir dan pengalaman, kedua-dua perkara itu boleh memberi manfaat pada Malaysia.

“Beliau berjaya mengemudi negara keluar dari krisis kewangan 1977. Beliau tahu bagaimana untuk keluarkan negara dari masalah dan kita mahu pengetahuan itu,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu mendakwa keadaan ekonomi negara yang semakin meruncing selain tanggungan hutang yang tinggi menyebabkan kerajaan sedia ada terpaksa melaksanakan GST bagi menampung beban yang dihadapi mereka.

“Warisan akan hapuskan GST kalau kita bentuk kerajaan. Ada banyak sistem lain yang boleh kita gunakan untuk jana hasil untuk negara. Kalau kita boleh urus kewangan negara dengan baik, kita tidak perlukan percukaian regresif.”

Diminta mengulas mengenai hubungan antara partinya dan PH yang diterajui Dr Mahathir, Shafie menegaskan bahawa Warisan akan terus bergerak bebas dan tidak menyertai gabungan tersebut.

Beliau mendakwa telah memaklumkan kepada Dr Mahathir bahawa peranannya untuk memastikan BN tumbang di Sabah dan meminta gabungan pembangkang dari Semanjung itu untuk tidak bertanding di sana.

“Di Sarawak, majoritinya ialah parti tempatan. Ini yang kita mahukan. Sebuah parti yang benar-benar milik Sabah. Sebab itu saya beritahu mereka, kalau mereka datang ke Sabah, saya akan lawan mereka,” katanya.