Jamal Bertuala Depan Bangunan SUK Selangor Protes Masalah Air

Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos, hari ini, mengadakan protes berkaitan gangguan bekalan air di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) dengan hanya berbalutkan tuala di tubuhnya.

Jamal mendakwa kehadirannya ke bangunan tersebut sekadar untuk menumpang mandi kerana bekalan air di kediamannya telah terputus selama empat hari disebabkan kerja penyelenggaraan TNB di pencawang Bukit Badong, Hulu Selangor.

“Empat hari rumah saya di Ampang. Saya sendiri sudah dua hari tidak mandi, bos.

“Saya mahu periksa jika Pejabat Menteri Besar (Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) ada air. Bukalah pintu pagar, saya mahu mandi. Buka pintu pagar.

“Mengapa kamu takut mahu buka pintu pagar? Saya bukan bawa senjata atau bom. Saya pun tak ganggu sesiapa,” katanya kepada pengawal keselamatan yang bertindak menutup pintu pagar Bangunan SSAAS ketika melihat Jamal berjalan ke arah mereka dengan berbalutkan tuala.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mendakwa bahawa tindakannya itu bukan bermotifkan politik, sebaliknya bertindak bagi memastikan bekalan air kepada rakyat Selangor dikembalikan segera.

Jamal turut mendakwa bahawa ketiadaan air ini berpunca dari kelemahan urus tadbir kerajaan Selangor memandangkan kerajaan pimpinan Azmin gagal memastikan sebarang penyelenggaraan seharusnya tidak dilakukan pada tarikh genting.