Selangor Sasar 7.4 Juta Pelancong Asing Tahun 2017

Tourism Selangor optimis mampu meningkatkan jumlah pelacong asing ke negeri ini seramai 7.4 bagi tahun 2017 berbanding sasaran 7.2 juta bagi tahun 2016.

Pengurus Komunikasi Korporat Tourism Selangor, Ahmad Nazri Tashriq Rahmat berkata bagi mencapai sasaran tersebut, Tourism Selangor akan memberi perhatian khusus beberapa kawasan di negeri ini termasuk mengadakan promosi dan program bagi menarik lebih ramai pelancong.

“Beberapa daerah di Selangor mengambil inisiatif menganjurkan kempen pelancongan dan tahun melawat daerah masing-masing bagi mempromosikan produk pelancongan menarik di daerah mereka.

“Antara PBT yang mengadakan Tahun Melawat Daerah adalah Daerah Klang, Daerah Hulu Selangor dan Daerah Selayang,” katanya kepada pemberita.

Menurut Nazri lagi, Tourism Selangor turut mengambil inisiatif menganjurkan program Klang Art Festival yang bakal berlangsung September tahun hadapan bagi mengetengahkan produk berkonsepkan warisan, kesenian dan budaya.

Tambahnya lagi, Tourism Selangor juga bekerjasama dengan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dalam penganjuran ‘birding’ Wings of Kuala Kubu Baharu (KKB) 2017 berskala antarabangsa.

Selain itu, katanya terdapat juga beberapa produk pelancongan terbaru yang akan diketengahkan seperti Sky Mirror (Kuala Selangor), Bangi Wonderland (Bangi), Sekinchan 3D Art and Ocean Gallery (Sekinchan) dan Nickelodeon Lost Lagoon (Sunway).