Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Sita Pusat Peranginan Jamal Ikut Prosedur, Kata YDB MDSB

Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menafikan tindakan pihaknya menyita dan meroboh Sekin Fisherman Village Hotel and Resort dilakukan bermotifkan balas dendam seperti didakwa Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Yang Dipertuanya, Azlinda Azman berkata tindakan MDSB itu mengikut prosedur standard (SOP) yang ditetapkan berdasarkan UUK38 Undang-Undang Kecil Hotel (Majlis Daerah Sabak Bernam) 2013 memandangkan pusat peranginan tersebut menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

Menurut beliau lagi, pihaknya sebelum ini telah beberapa kali mengeluarkan notis terhadap pusat peranginan berkenaan, namun tidak diendahkan pemiliknya.

“Secara pentadbirannya, kita telah mengeluarkan arahan supaya pemilik resort mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan secara sah.

” Kita tidak mempunyai apa-apa masalah kepada mana-mana pihak yang ingin menjalankan perniagaan di daerah Sabak Bernam, malah sangat-sangat digalakkan tetapi hendaklah mengikuti undang-undang dan ikutlah prosedur-prosedur yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Program Hi-Tea bersama Media dan Atlet Sukan Malaysia (Sukma) serta Majlis Apresiasi MDSB di Dewan Seri Bernam, semalam.

Tambahnya lagi, MDSB sebenarnya telah banyak memberi kelonggaran kepada pusat peranginan itu sejak beroperasi pada 2011.

“Kita telah bantu banyak premis ini iaitu daripada tak tukar syarat kita bantu kepada bagaimana tukar syarat. Daripada kawasan pertanian kepada bangunan perniagaan dan bagaimana nak buat seterusnya tetapi ada syarat yang kita tetapkan, namun sehingga kini tidak dipatuhi,” katanya.

Azlinda turut menafikan bahawa wujud campur tangan kerajaan negeri yang mengarahkan MDSB mengambil tindakan menyita pusat peranginan berkenaan, sebaliknya menegaskan bahawa tindakan tersebut diambil kerana premis tersebut telah dikompaum beberapa kali sebelum ini.

Sementara itu, Jamal dalam kenyataannya sebelum ini percaya bahawa tindakan MDSB menyita pusat peranginan miliknya adalah atas arahan kerajaan negeri yang tidak berpuas hati dengan tindakan protesnya berkaitan isu bekalan air di negeri ini.

Jamal, juga Pengerusi Gerakan Baju Merah berkata, perbuatan itu sememangnya bermotifkan politik semata-mata dan menyifatkan tindakan MDSB terhadap premisnya sebagai penyalahgunaan kuasa.