Kekeruhan Tinggi Punca LRA Sungai Langat Terjejas

Beberapa kawasan di Lembah Klang termasuk Hulu Langat, Cheras, Pandan, Ampang dan Bandar Tun Razak bakal menghadapi masalah bekalan air akibat tahap kekeruhan tinggi pada sumber air mentah dari Sungai Langat sehingga menjejaskan pengeluaran bekalan air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melalui satu kenyataan media berkata disebabkan situasi tersebut, beberapa kawasan bakal mengalami gangguan bekalan air atau tekanan air rendah sehingga keadaan kembali pulih.

Antara kawasan yang terjejas di Hulu Langat termasuklah Taman Wawasan, Taman Pinggiran Delima, Taman Desa Saujana, Laman Kesuma, Batu 10 hingga Batu 16 Jalan Hulu Langat, Kampung Sungai Tekali, Kampung Sungai Lui, Bandar Sungai Long, Bandar Tun Hussein Onn, Taman Tun Perak, Bandar Mahkota Cheras dan Taman Rasa Sayang.

Menurut Air Selangor, bantuan bekalan akan terus dihantar dengan lori tangki air ke hospital, pusat dialisis serta pengguna yang terjejas dengan cara memohonnya melalui kiriman SMS ke 15300 (Taip: TankerNama & Alamat).

Maklumat terkini mengenai status gangguan bekalan air ini boleh dirujuk di www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar “mySyabas“, Facebook Air Selangor atau Twitter @air_selangor.