Kerajaan Selangor Lantik Syarikat Swasta Perangi Denggi

Kerajaan Selangor akan melantik syarikat pengawalan makhluk perosak swasta untuk menjalankan kerja penghapusan nyamuk di kawasan panas dan berisiko tinggi akibat kekurangan petugas kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan selain meminta kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil khidmat syarikat luar bagi melaksanakn kerja penghapusan nyamuk di kawasan mereka.

“Kita menjangkakan peningkatan kes denggi kerana musim hujan. Sebagai langkah proaktif, kita meminta pihak berkuasa tempatan supaya menggunakan khidmat syarikat pengawalan makhluk perosak kerana kekurangan tenaga manusia,” katanya kepada sebuah portal berita.

Tambahnya terdapat beberapa kawasan ‘panas’ di Petaling, Hulu Langat, Klang dan Gombak, selain beberapa daerah mencatatkan lebih 20 kes denggi yang memerlukan perhatian segera.

Menurut Daroyah lagi, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM600,000 yang telah dibayar kepada semua PBT sejak Januari lalu bagi memerangi denggi di negeri ini, selain meningkatkan jumlah belanjawan mengurangkan penularan wabak tersebut kepada RM5 juta untuk tahun ini.

“Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM600,000 yang sudah dibayar kepada semua pihak berkuasa tempatan sejak Januari.

“Kerajaan turut menaikkan belanjawan untuk memerangi denggi dari RM1.5 juta pada 2016 kepada RM5 juta tahun ini.” katanya lagi.

Kenyataan Dorayah itu sebagai mengulas laporan terbaru kementerian kesihatan yang mengumumkan Selangor sebagai negeri dengan kes terkumpul tertinggi untuk tiga minggu pertama tahun ini.