Penduduk Kapar Desak Batal Projek Kubur Bukan Islam

Lebih 300 penduduk dari lima buah kampung sekitar Felda Bukit Cherakah, Kapar berhimpun untuk mendesak kerajaan negeri membatalkan segera kelulusan pembinaan kawasan perkuburan bukan Islam di Kampung Bukit Kapar Tambahan, hari ini.

Mereka merupakan penduduk dari Felda Bukit Cherakah, Kampung Bukit Kapar, Kampung Bukit Kapar Tambahan, Kampung Bukit Kerayong dan Kampung Bukit Hijau.

Seorang wakil penduduk, Razis Talib berkata pembinaan kawasan perkuburan itu jelas menyentuh sensitiviti penduduk setempat memadangkan majoriti di kawasan tersebut terdiri daripada masyarakat beragama Islam.

Tambah Razis lagi, keputusan Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor meluluskan kebenaran kepada syarikat swasta, Future Spectrum Sdn Bhd dan Everest Fairway Sdn Bhd untuk membangunkan kawasan perkuburan di situ amat dikesali penduduk.

Sehubungan itu, penduduk mendesak campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kerajaan negeri untuk segera membatalkan projek berkenaan.