Projek Kubur Bukan Islam Bukit Kapar Akan Dinilai Semula, Kata MB

Kerajaan Selangor akan menilai kembali cadangan pembinaan tanah perkuburan bukan Islam di Kampung Bukit Kapar Tambahan, Kapar, ekoran bantahan penduduk dari lima kampung di kawasan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali berkata kerajaan negeri telah meminta Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) untuk bertemu dan berbincang dengan penduduk bagi menyelesaikan masalah tanah perkuburan tersebut.

“Sebelum ini, memang ada cadangan daripada beberapa pihak untuk bina tanah perkuburan Cina di situ mengikut kepada keperluan.

“Tetapi apabila ada bantahan, kita teliti dan minta pihak berkuasa tempatan jumpa penduduk untuk dapatkan maklum balas,” katanya di Shah Alam, baru-baru ini.

Tambah Azmin lagi, kerajaan negeri percaya bahawa pandangan penduduk setempat wajar dinilai sebelum sesuatu tindakan susulam diambil bagi memastikan jalan penyelesaian terbaik dicapai.

Kira-kira 300 penduduk dari lima kampung termasuk Kampung Felda Bukit Cherakah, Kampung Bukit Kapar Tambahan, Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Kerayong dan Bandar Puncak Alam mengadakan bantahan secara aman pada 11 Januari lalu mendesak pembinaan perkuburan itu tidak diteruskan dan campur tangan kerajaan negeri.