Shah Alam Akan Laksana Polisi Hari Tanpa Kenderaan

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mula melaksanakan polisi “Hari Tanpa Kenderaan” setiap bulan pada hari Ahad minggu kedua sebagai sebahagian usaha menjadikan Shah Alam sebagai bandar rendah karbon menjelang 2030.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata keputusan itu bagi menyahut program hijau yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri agar dilihat lebih berkesan.

Malah katanya polisi tersebut demi mengalakkan warga Shah Alam yang lebih sihat, selain mengurangkan pelepasan gas karbon monoksida kenderaan persendirian di kawasan pusat bandar.

“Kita mahu melahirkan warga Shah Alam yang mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian yang melepaskan gas karbon monoksida.

“Sepanjang program ini, orang ramai hanya dibenar menggunakan basikal, papan luncur, ‘hover board’, berjalan kaki dan skuter blade di sekitar pusat bandar raya,” katanya melalui kenyataan media.

Tambah Sharin lagi, program sulung “Hari Tanpa Kenderaan” bakal diadakan di Dataran Kemerdekaan ini pada 22 Januari depan dengan pelbagai aktiviti dan pengisian untuk warga Shah Alam.