Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Klinik 1Malaysia Tiada Doktor, Hanya Beri Panadol

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa tidak wujud keperluan untuk rakyat negeri ini pergi ke Klinik 1Malaysia memandangkan klinik berkenaan tidak mempunyai doktor bertauliah, selain hanya menawarkan ubat-ubatan tertentu sahaja kepada pesakit.

Azmin berkata kesukaran rakyat terutama dari kawasan luar bandar untuk mendapat rawatan kesihatan di hospital kerajaan dan klinik 1Malaysia menyebabkan kerajaan negeri memperkenalkan Skim Peduli Sihat bagi memastikan rakyat kurang berkemampuan menikmati rawatan secara percuma di pusat perubatan swasta.

Katanya lagi, melalui kad tersebut rakyat tidak perlu menunggu sehingga penyakit menjadi kronik kerana boleh mendapatkan rawatan di klinik swasta berhampiran.

“Tak payah pergi Klinik 1 Malaysia sebab faktanya (klinik tersebut) tiada doktor. Dia bagi panadol sahaja. Sakit jantung panadol, angin ahmar panadol, semput panadol, lelah panadol dan akhirnya kita mati kerana panadol.

“Tapi kalau anda ada kad Peduli Sihat, tidak perlu tunggu sampai sakit kronik, terus pergi klinik swasta berhampiran,” katanya.

Menurut Azmin lagi, melalui skim diperkenalkan kerajaan Selangor itu, rakyat berpeluang menikmati rawatan kesihatan asas di klinik atau hospital swasta lebih cepat tanpa perlu bergantung kepada Klinik 1Malaysia.

Tambahnya, semenjak dilancarkan 24 Januari lalu, lebih 40,000 ahli berjaya didaftarkan melalui Skim Peduli Sihat ini dengan dua kategori kad diperkenalkan untuk golongan berkeluarga dan bujang berumur 21 tahun dan ke atas.

Keluarga yang telah diluluskan permohonannya di bawah skim ini akan menerima kad bernilai RM500 setahun manakala individu bujang pula dengan nilai RM200 yang boleh digunakan dengan had RM50 setiap kali rawatan di mana-mana klinik swasta.

Permohonan skim Peduli Sihat boleh dibuat melalui Pejabat Ahli Dewan Negeri atau Pejabat Penyelaras Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) berdekatan.