Pusat Judi Naik 60 Peratus di Selangor

Kewujudan pusat mesin judi tidak berlesen dan berselindung di sebalik lesen pusat hiburan keluarga di negeri ini amat membimbangkan terutama apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dilihat gagal menanggani secara serius.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata kewujudan premis tersebut dilihat amat membimbangkan apabila kajian pihaknya menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 60 peratus jumlah premis mesin judi di kawasan perumahan orang Melayu dalam tempoh dua tahun.

Katanya lagi, PBT sewajarnya menghentikan pengeluaran sebarang lesen pusat hiburan keluarga kerana sebilangan pemilik premis berkenaan menggunakan kesempatan tersebut untuk menutupi kegiatan haram mereka.

“Saya sebagai pemimpin JMM telah menerima banyak aduan daripada ahli-ahli serta orang ramai mengenai kebimbangan mereka terhadap aktiviti judi haram dan menyuarakan perkara tersebut kepada pihak media, PBT dan polis sejak bertahun lamanya.

“Polis perlu berlaku adil dan tidak gentar untuk menguatkuasakan undang-undang. Pemilik premis-premis berkenaan perlu diambil tindakan tegas dan jika mendapati perniagaan yang dijalankan tidak sah atau melanggar peraturan, perniagaan mereka perlu ditutup serta-merta,” katanya kepada media baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata tindakan PDRM menahan Jamal berhubung tindakannya memecah pusat mesin judi tempoh hari menerima kritikan orang ramai terhadap pihak berkuasa itu.

Beliau sendiri telah menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp dari orang ramai yang melahirkan rasa kesal kepada pihak berkuasa kerana gagal bertindak secara adil dalam isu premis perjudian.

Tambahnya, masyarakat kini mempunyai tanggapan negatif terhadap kegagalan PDRM menanggani isu ini sehingga ada yang beranggapan wujud penyalahgunaan kuasa kalangan penguat kuasa.

“Malah tidak kurang juga beberapa orang yang mengadu pada kami sambil membuat anggapan wujudnya kemungkinan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan anggota penguat kuasa.

“Saya malu apabila membaca pesanan tersebut kerana saya juga lahir dalam keluarga yang mempunyai latar belakang sebagai polis. Pihak berkuasa perlu membersihkan imej pasukan tersebut dan tidak boleh menutup sebelah mata cuba melin­dungi individu-individu tertentu,” katanya Nadzim lagi.