50 Kanak-Kanak Sertai Majlis Khatan HSA

Seramai 50 kanak-kanak menyertai Majlis Berkhatan Beramai-ramai anjuran Hospital Shah Alam (HSA), di Shah Alam, pagi tadi.

Pengarah HSA, Datin Dr Hasni Hanapi berkata program seliaan Jabatan Pembedahan Am itu juga adalah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) hospital berkenaan.

Katanya, majlis itu turut mendapat kerjasama dari polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Sempena cuti penggal persekolahan ini, Jabatan Pembedahan Am meneruskan lagi program yang dilaksanakan tahun lalu selepas melihat sambutan yang menggalakkan.

“Kita akan mempertimbangkan untuk menjadikan majlis hari ini sebagai majlis tahunan tetapi ia bergantung kepada kewangan jabatan,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Nek Zaidi Zakaria dan Ketua Balai Bom dan Penyelamat Seksyen 15, Azmel Kamarudin.

Terdahulu, sebelum dikhatankan, semua peserta dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan tarian.

Peserta kemudiannya diarak sejauh 200 meter sebelum disembur dengan air menggunakan paip bomba.

Dalam majlis itu, HSA turut meraikan kanak-kanak dari Pusat Penjagaan Kanak-kanak Cacat Klang dan Rumah Jagaan Ikhwan Klang. – BHARIAN