Paraglider Hilang Lepas Buat Terjunan di Kuala Kubu Bharu

Seorang paraglider dilaporkan hilang selepas melakukan terjunan dari Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Rosli, berusia lingkungan 50-an dari Cheras, Kuala Lumpur dijangkakan mendarat di Taman Millenium selepas terjun dari ketinggian 426.72 meter, namun sebaliknya gagal dikesan sehingga sekarang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata pihaknya telah menerima laporan daripada orang awam pada jam 3.30 petang semalam.

“Paraglider itu gagal membuat pendaratan berikutan angin kencang yang telah membawanya naik lebih tinggi dan tidak dapat dikesan.

“Sehingga jam 5.00 petang semalam, mangsa tidak dapat dihubungi sama ada menggunakan set ‘point to point’ yang dibawa dan telefon bimbit,” katanya.

Kata R Supramaniam, usaha mencari dan menyelamat telah dilancarkan bersama pasukan bomba sehingga jam 8.00 malam semalam, namun terpaksa dihentikan ekoran cuaca yang tidak mengizinkan dan telah disambung semula 8.00 pagi tadi.