Ada Pihak Dengki dan Cemburu Kejayaan Selangor, Kata MB

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan ada pihak dan kumpulan politik yang dengki dan cemburu dengan kejayaan negeri ini sehingga cuba menimbulkan pelbagai tuduhan, fitnah dan perkara yang tidak baik terhadap kerajaan negeri.

Azmin berkata pihak tersebut sengaja mencipta polemik dan melakukan provokasi demi memburuk-burukkan imej kerajaan Selangor.

Beliau turut meminta kepimpinan PKR termasuk Wanita Keadilan dan Angkatan Muda Keadilan untuk mempertahankan kerajaan Selangor dari serangan anasir luar.

“Mereka lempar fitnah, kemudian dikutip oleh pihak media lalu mencipta polemik sekali gus lakukan provokasi.

“Usah terpedaya dengan perkara ini. Saya ajak perwakilan kita untuk persetankan politik ini. AMK dan Wanita kena bersama untuk kita bersama-sama mempertahankan kubu kita,” katanya dalam Perasmian Kongres Nasional Tahunan Wanita dan AMK, di Petaling Jaya, malam tadi.

Turut hadir dalam kongres tersebut adalah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Tambah Azmin, mana-mana pihak sama ada individu atau kumpulan yang cuba menggugat kestabilan kerajaan Negeri Selangor, mereka adalah pengkhianat amanah rakyat.

Jelasnya, itu adalah musuh dan kita akan lawan habis-habisan.

Katanya, pembangkang perlu teruskan usaha dalam membentuk gabungan politik yang akan menyatupadukan rakyat dan mewujudkan kestabilan yang menjadi prasyarat pembangunan mampan.

“Saya tuntut semua parti politik pembangkang untuk bergabung tenaga bagi menewaskan Umno-BN dalam PRU akan datang ini,” katanya.