Azmin Umum Insentif RM810 Ribu Untuk Nazir Masjid, Pengerusi Surau

Kerajaan Selangor mengumumkan sumbangan insentif RM810,000 kepada hampir 2,000 nazir masjid dan pengerusi surau di seluruh negeri ini buat julung kalinya sepanjang Pakatan Harapan (PH) memerintah Selangor

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata insentif itu sebagai menghargai peranan mereka dalam mengimarahkan rumah Allah di negeri ini dan bersempena dengan kehadiran Ramadhan.

Katanya, setiap nazir masjid akan menerima sumbangan sebanyak RM500, sementara pengerusi surau diberikan RM300.

“Kerajaan Negeri maklum peranan mereka semakin mencabar kerana ia tidak semudah 10 atau 20 tahun lalu.

“Sebelum ini tumpuan diberikan kepada jawatankuasa dan pengurusan masjid, kali ini kita hargai peranan penting nazir masjid dan pengerusi surau,” kata Azmin ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Menyemarak Ramadan dan Penyampaian Sumbangan Bantuan Moreh Masjid dan Surau serta Bantuan Insentif 2017 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, semalam.

Tambah Azmin, kerajaan negeri juga bersedia untuk berbincang dan meneliti mekanisme sesuai bagi menghargai peranan nazir dan pengerusi surau.

Malah menurutnya lagi, kerajaan negeri amat prihatin dengan pembangunan agama di negeri ini dengan memberikan penekanan sewajarnya dalam mengembangkan lagi syiar Islam.

“Pembangunan Islam sememangnnya diberi perhatian besar bukan sahaja dari segi prasarana semata-mata tetapi kita mahu ia dilakukan secara lebih menyeluruh.

“Ia termasuk melengkapkan warga pendidik seperti guru KAFA dengan ilmu dan kemahiran supaya memberi manfaat kepada anak Selangor, pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama dalam program itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.