Menarik
Tarikh Hari Ini
18 October 2017

Istana Selangor Nafi Terima Maklumat Rasmi Kedudukan Tiga Exco Pas

Istana Selangor menafikan bahawa pihaknya menerima maklumat secara rasmi berkenaan kedudukan tiga Exco Pas dalam Kerajaan Selangor daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata sehingga ke masa ini kedudukan barisan exco kerajaan negeri masih status quo sehinggalah Azmin bertindak menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Sehingga saat ini juga, pihak istana tidak menerima apa-apa surat rasmi daripada kerajaan negeri. Saya difahamkan Mohamed Azmin sekarang berada di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan tiga exco kerajaan negeri dari Pas rentetan keputusan muktamar parti itu untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Difahamkan Azmin masih berada di Belgium atas urusan rasmi dan dijangka pulang Ahad ini.

Kelmarin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, hanya Sultan Selangor boleh mengarahkan tiga exco Pas berkenaan meletakkan jawatan.

Beliau dilaporkan berkata, Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib akan kekal memegang jawatan selagi diperkenan sultan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media sama turut mengesahkan parti itu tidak menerima sebarang makluman rasmi mengenai arahan agar exco mereka letak jawatan.

Sebelum ini, beberapa media arus perdana melaporkan Mohamed Azmin mengarahkan exco Pas meletakkan jawatan namun dinafikan ketiga-tiganya.

Malah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan menegaskan bahawa jawatan exco yang disandang oleh ahli Pas dalam kerajaan negeri Selangor tidak boleh dilucutkan dengan mudah kerana mereka diikat dengan bai’ah.