LZS Basmi Kemiskinan Melalui Inisiatif Pendidikan

Usaha menangani isu kemiskinan dilaksanakan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi pelbagai pendekatan dan inisiatif berterusan.

Antara pendekatan diambil termasuklah penganjuran program melibatkan anak-anak golongan fakir miskin seperti pendedahan Kursus Cemerlang Peperiksaan (KCP), Skor A, Kursus Pemantapan Diri (KPD) dan Kursus Mahasiswa dan Mahasiswi Selangkah ke Alam Pekerjaan.

LZS dalam kenyataannya berkata, pendekatan itu juga dilaksanakan sebagai pelan jangka panjang pihaknya bagi menangani isu kemiskinan secara halus membabitkan penyertaan golongan tertentu.

“Program ini menyasarkan anak asnaf dari darjah 5 hingga tingkatan 5 serta yang berada di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Mereka ini adalah aset kepada keluarga untuk membawa mereka keluar dari belenggu kemiskinan,” kata kenyataan itu.

Pengisian lain termasuklah sesi seminar oleh pakar motivasi, aktiviti kesukanan dan riadah, slot modal insan dan kelas pembangunan sahsiah diri.