Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

MBSA Catat Sifar Rasuah, Kata Datuk Bandar Shah Alam

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencatatkan bilangan sifar kes rasuah membabitkan anggota dan penjawat awamnya.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata kecemerlangan itu membuktikan intergriti MBSA kini berada pada landasan terbaik.

“Tiada salahlaku rasuah dilaporkan. Namun, kita ada mengambil tindakan terhadap kakitangan yang mempunyai masalah disiplin seperti tindakan tatatertib atau kontrak mereka tidak disambung atau ditamatkan perkhidmatan mereka.

“Kesalahan ini termaktub di bawah kesalahan disiplin dan bukannya salahlaku kegiatan rasuah,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Ikrar Bebas Rasuah IBR peringkat MBSA di Auditorium MBSA, pagi ini.

Dalam perkembangan itu, 500 kakitangan MBSA melafaz ikrar itu diketuai Ahmad Zaharin dengan disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah.

IBR dilaksanakan sebagai komitmen MBSA meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai integriti dalam perkhidmatan serta meningkatkan komitmen warga kerjanya terhadap peranan membenteras gejala rasuah.

MBSA merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) keempat melafazkan IBR membabitkan kakitangannya.

Inisiatif berkenaan seiring komitmen pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini yang mahukan pentadbiran seluruh negeri ditadbir secara bersih dan bebas rasuah.