Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Pemuda Disimbah Air Panas Akibat Berzina Dengan Isteri Orang

Seorang pemuda cedera parah akibat dibelasah dan disimbah dengan air panas oleh penduduk kampung di Sungai Buloh, Selangor selepas ditangkap berzina dengan isteri orang.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu berkata tujuh suspek termasuk suami wanita berkenaan ditahan polis bagi membantu siasatan selepas bapa mangsa membuat laporan polis.

Kata Somu, siasatan awal mendapati penduduk kampung tersebut seramai 10 hingga 15 orang bertindak membelasah pemuda berkenaan dengan kayu dan rotan, selain menyimbahnya dengan air panas selepas mereka mengesahkan mangsa mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita yang masih dalam proses cerai dengan suaminya.

Tambah Somu, mangsa berusia 25 tahun yang cedera di muka, leher, kedua bahu dan badan, serta melecur kira-kira 12 peratus dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh oleh bapanya yang ternampak kejadian tersebut.

Mangsa kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di hospital berkenaan.

Beliau berkata tujuh suspek termasuk suami wanita terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini untuk mendapatkan perintah reman.

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi talian 03-61574745.