Selangor Tidak Akan Ada Pilihan Raya Awal, Kata MB

Tidak wujud keperluan untuk kerajaan Selangor membubarkan Dewan Undangan Negeri dan mengadakan pilihan raya lebih awal memandangkan kerajaan negeri berada dala keadaan stabil, kuku dan bersepadu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan negeri akan berfungsi seperti biasa dengan meneruskan agenda Inisiatif Peduli Rakyat selain meletakkan fokus utama kepada pembangunan rakyat.

“Tiada keperluan bagi pembubaran Dewan Negeri Selangor dan mengadakan pilihan raya awal kerana pentadbiran Kerajaan Negeri begitu stabil, solid dan berpadu tenaga.

“Kita akan terus fokus untuk pembangunan rakyat,” katanya kepada media selepas majlis Karnival IPR di Pasaraya Giant Kota Damansara, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Azmin berkata, kerajaan negeri bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya yang dijangkakan berlaku akhir tahun ini seperti digembar-gemburkan media.

“Itu saya dapat daripada media. Media kata PRU pada September, maka kita perlu bersiap sedia.

“Kita bersedia terhadap sebarang kemungkinan,” katanya.

Tambah beliau, beliau turut percaya rakyat akan memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk mengambil alih pentadbiran negara pada pilihan raya akan datang.