Sultan Selangor Tinjau Sendiri Kebajikan Nelayan, Lawat Jeti Sekinchan

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini, mencemar duli melawat ke Jeti Bagan Nelayan, di Sekinchan untuk melihat sendiri kebajikan nelayan di negeri ini.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri, Tengku Norashikin bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan delegasi kepimpinan Kerajaan Selangor mengadakan lawatan untuk mendekati nelayan, selain mendengar permasalahan yang dihadapi golongan tersebut.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada jadual rasmi baginda melawat ke daerah Sabak Bernam.

Terdahulu kerajaan negeri mengumumkan peruntukan bantuan RM3.1 juta bagi proses pembaikan dan jeti baharu di seluruh Selangor.

Daripada peruntukan tersebut, sebahagiannya disalurkan bagi projek pembaikan jeti secara berperingkat bagi memperbaiki mutu jeti sedia ada dalam usaha kerajaan negeri merancakkan ekonomi perikanan.