Kontroversi Masuk Masjid, Sivarasa Akan Serah Surat Kepada Sultan

Ahli Parlimen Subang R Sivarasa mengambil keputusan enggan melayan tuntutan serta kritikan mana-mana pihak berkaitan kejadian memasuki dan menyampaikan ceramah di Masjid An Nur Kampung Melayu Subang yang menjadi kontroversi baru-baru-ini.

Sivarasa berkata beliau telah memberi penjelasan sewajarnya berkaitan hal tersebut dan meminta mana-mana pihak agar merujuk kembali kepada kenyataannya sebelum ini.

“Saya sudah beri penjelasan cukup jelas, saya tidak akan tambah apa-apa lagi,” katanya kepada pemberita.

Menurut Sivarasa, beliau akan menulis surat secara peribadi kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memperjelaskan kejadian sebenar.

Tambahnya lagi, surat tersebut akan diserahkan secepat mungkin bagi menjernihkan kembali keadaan.