Silap Fakta, Chegu Bard Mohon Maaf Pada Istana Selangor

Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, hari ini, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Istana Selangor dan bersedia menarik balik sebahagian daripada artikelnya yang dianggap mempunyai kesilapan fakta.

Badrul Hisham berkata keputusannya memohon maaf berhubung desakannya meminta penjelasan dari Istana Selangor berhubung dakwaan bahawa kepimpinan sebuah parti politik menggunakan surau bagi tujuan politik dibuat tanpa sebarang asas dan melulu.

Katanya lagi, tuduhan yang dilemparkan juga mempunyai beberapa kesalahan fakta setelah dia sendiri melakukan semakan dengan penduduk di kawasan Jalan Kebun, Klang berhubung hal tersebut.

“Gambar tersebut merupakan ruang solat sebuah surau yang tidak digunakan lagi sebagai surau sejak Mac 2017 setelah Masjid Al Falah Jalan Kebun yang terletak berdekatan mula beroperasi.

“Sehubungan dengan itu saya menarik sebahagian dari tulisan tersebut yang salah fakta dan memohon maaf kepada pihak berkenaan.

“Saya memohon maaf juga kepada Istana Selangor berkenaan kesilapan fakta dalam persoalan yang dibangkitkan.

“Namun saya pertahankan tulisan saya selebihnya,” tulisnya di laman blog peribadi.

Kelmarin Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegu Bard menggesa Istana Selangor mengemukakan pendirian mengenai penggunaan surau sebagai tempat untuk melakukan program pengkaderan sebuah parti politik Islam.

Tindakan Chegu Bard itu dipercayai susulan kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyelar tindakan ahli politik menggunakan surau atau masjid sebagai tempat untuk berpolitik.

Bagaimanapun, hasil siasatan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mendapati surau berkenaan telah ditutup dan bangunan itu telah ditukar fungsi sebagai pusat ilmu dan kegiatan masyarakat yang dibuka untuk disewa kepada orang ramai bagi menampung kos operasi Masjid Al Falah, Jalan Kebun.