Imigresen Selangor Tahan 29 Warga Asing Di Pasar Besar Klang

Jabatan Imigresen Selangor menahan 29 warga asing dalam satu operasi di pasar besar Klang dekat Klang, hari ini.

Ketua Unit Operasi Jabatan Imigresen Selangor, Jaimin Sumpit dalam satu kenyataan hari ini berkata kesemua warga asing berumur antara 16 hingga 45 tahun itu ditahan atas kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah, salah guna dokumen perjalanan serta tinggal lebih masa di negara ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Nepal.

“Operasi bermula seawal pukul 7.00 pagi. Ketika operasi kesemua warga asing yang merupakan pekerja di pasar dan kedai runcit berhampiran (pasar) cuba melarikan diri namun gagal ekoran tindakan pantas anggota penguat kuasa yang berjaya menahan mereka.

“Dalam operasi itu, kita turut mengeluarkan saman ke atas empat majikan kerana menggaji warga asing berkenaan,”katanya. – BERNAMA