Anggota Bomba Maut Kereta Dipandu Rempuh Kren

Seorang anggota bomba maut apabila kereta jenis Proton Persona yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah kren di Kilometer 12, Jalan Bukit Changgang-KLIA menghala ke Banting, malam tadi.

Mangsa, Mohd Zulkhairul Harun, 41, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami kecederaan parah akibat kejadian yang berlaku kira-kira 7.25 malam tadi dikeluarkan oleh orang awam yang berada ditempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman berkata kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa melanggar bahagian belakang kanan kren yang diletakkan di tepi jalan kerana mengalami kerosakan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada 9.15 malam akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azizan, ketika kejadian jalan raya tersebut berada dalam keadaan baik dan mangsa dilaporkan dalam perjalanan ke tempat kerja.