Pemilik Zurin Jundi Mengaku Tidak Bersalah Menipu Pelanggan

Perancang perkahwinan, Zurina Ahmad Jundi, 34, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang atas dua tuduhan menipu pelanggannya, hari ini.

Dia yang merupakan pemilik syarikat perancang perkahwinan Zurin Jundi menghadapi dua pertuduhan menipu pelanggan yang dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Bagi pertuduhan pertama, Zurina didakwa memperdaya ibu seorang bakal pengantin, Zainon Ali, bagi menawarkan perkhidmatan pakej perkahwinan hingga mendorong Zainon menyerahkan wang berjumlah RM5,000 melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebagai wang pendahuluan pakej berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan pada 16 Mac lalu di CIMB Bank, Pelabuhan Klang.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Zurina didakwa sekali lagi memperdaya Zainon, 54, apabila mangsa menyerahkan RM2,000 secara tunai sebagai bayaran pendahuluan untuk pakej yang ditawarkan dan perbuatan berkenaan dilakukan pada 17 Jun lalu di butiknya di Jalan Plumbum, Seksyen 7, Shah Alam.

Zurina didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua tuduhan itu yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun tahun dan sebatan serta denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Abd Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Zurina memohon Majistret mengurangkan jumlah jaminan berikutan dia dalam proses menjual barang bagi memulangkan semula wang pelanggannya.

Rozianti menetapkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua tuduhan itu dan 16 November depan sebagai tarikh sebutan semula.

Ogos lalu, video berdurasi dua minit 14 saat yang memaparkan kira-kira 100 individu yang menjadi mangsa penipuan pakej perkahwinan menyerbu butik Zurin Jundi di Shah Alam tular di media sosial.

Kejadian berlaku disebabkan mangsa mahu menuntut penjelasan daripada pemilik syarikat terbabit yang tidak menepati pakej sehingga mengakibatkan kerugian ribuan ringgit.