Persempadanan Semula SPR Mungkin ‘Makan Diri’ BN, Kata Adun Pas Selangor

Pengerusi PAS Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi percaya bahawa cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) di Selangor mungkin ‘memakan diri’.

Dr Ahmad Yunus berkata sokongan pengundi Melayu di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 menunjukkan mereka masih kuat menyokong parti Islam itu, berbanding BN.

Katanya, pemindahan pengundi Melayu dari kawasan Dun bersebelahan ke kawasannya hanya memperkukuhkan kekuatan Pas memandangkan sokongan pengundi Melayu telah beralih arah semenjak 2013 lagi.

“Dengan persempadanan semula, SPR merancang untuk memindahkan lebih ramai pengundi Melayu dari Teluk Datuk ke kerusi DUN Sijangkang.

“Mereka fikir ini akan membolehkan BN memenangi semula Sijangkang selepas 10 tahun,” katanya.

Tambah Dr Ahmad Yunus, keputusan SPR untuk mengadakan inkuiri tempatan sejurus selepas kes mahkamah kerajaan Selangor digugurkan disifatnya dibuat secara tergesa-gesa dan penuh tanda tanya.

Ditanya kemungkinan Pas untuk mengekalkan kerusi Dun Sijangkang seandainya berlaku pertembungan tiga penjuru, beliau melahirkan keyakinan bahawa pengundi Melayu di kawasan itu akan lebih berpihak kepada Pas.

“Pas Selangor telah melakukan penyelidikan dan mendapati sokongan Melayu kepada Amanah (Parti Amanah Negara) sangat sedikit di negeri ini atau lebih kurang pada 2.7 peratus,” katanya.

Malah katanya, beberapa kawasan majoriti Melayu seperti Kampung Jenjarom dan Seri Cheding yang akan dipindahkan ke Dun Sijangkang selepas persempadanan semula selesai memberi kelebihan kepada Pas di kawasan tersebut.

Beliau yakin sokongan terhadap Pas semakin kukuh walaupun parti itu kini tidak lagi bersama Pakatan Harapan.

“Kami baru sahaja mendaftarkan 500 orang sebagai ahli di Kuala Langat dan jumlah ahli sekarang melebihi 2,000 orang,” katanya.

Dr Ahmad Yunus menjadi Adun Sijangkang selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tahun 2008.

Beliau mengekalkan kerusinya di Sijangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan undi sebanyak 14,838 mengalahkan calon BN, Zurihan Yusof yang mendapat undi 11,896.