Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Noh Dakwa Keputusan Azmin Letak Jawatan FAS Sebagai Sandiwara

Keputusan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletakan jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dikritik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai sandiwara.

Sambil mendakwa keputusan Azmin meninggalkan FAS itu sebagai tidak bertanggungjawab, Noh turut menyelar tindakan Menteri Besar itu menghampakan harapan anak muda di negeri ini.

“Sebagai MB Selangor Azmin Ali tahu tanggungjawabnya bukan sahaja untuk membangunkan prasarana dan ekonomi negeri Selangor tetapi juga pembangunan sukan yang menjadi wadah anak muda di Selangor.

“Sudah tentu Azmin perlu sedar dia tidak boleh menghampakan harapan anak-anak muda Selangor,” katanya melalui sebarang Whatsapp kepada pihak media.

Menurut Noh lagi, Azmin tidak wajar menjadikan alasan tidak sehaluan dengan Exco FAS sebagai sebab peletakan jawatannya.

“Alasan meletak jawatan Presiden FAS kerana tidak sehaluan dengan Exco FAS adalah satu kenyataan ugutan politik. Beliau (Azmin) dengan secara tidak langsung menetapkan syarat jika hendak meneruskan tugas menjadi Presiden FAS, exco-exco yang tidak sehaluan dengannya mesti meletakkan jawatan,” kata Noh lagi.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu turut mendakwa sikap berdiam diri Azmin sebagai punca kemelut dalam FAS, selain kegagalan kerajaan negeri menyalurkan dana kepada persatuan tersebut dianggap menambah kekeruhan kepada situasi sedia ada.

Semalam Menteri Besar dan Pengurus Pasukan Bola Sepak Selangor, Amirudin Shari bertindak mengumumkan peletakkan jawatan mereka di dalam persatuan bola sepak itu akibat kemelut yang berlarutan semenjak Ogos lalu.