Raja Muda Selangor Calon Paling Sesuai Terajui FAS

Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah disebut sebagai calon paling sesuai ketika ini untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dalam usaha persatuan itu mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang dihadapi mereka.

Malah majoriti exconya telah menyatakan persetujuan untuk mengadakan pertemuan dengan  Tengku Amir Shah bagi menyatakan sendiri hasrat mereka dan menjelaskan hal sebenar berkaitan isu dalaman badan induk bola sepak Selangor itu.

Tengku Amir Shah melalui akaun Instagram-nya menyarankan agar ‘orang lama’ dalam FAS berundur secara terhormat dan rombakan dilakukan segera berikutan perkembangan terkini dilihat begitu membimbangkan.

Baginda turut menggesa persatuan bola sepak itu mengatur strategi bagi pembangunan bola sepak Selangor secara menyeluruh merangkumi peningkatan mutu infrastruktur dan melaksanakan aspek pemasaran sukan bagi memperolehi kewangan mapan.

Kemelut persatuan itu dilaporkan berlarutan semenjak Ogos lalu berpunca dari sikap beberapa individu yang kurang senang dengan keputusan Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membuat rombakan dalaman melalui Mesyuarat Eksekutif FAS.

Ditambah lagi dengan masalah dana dihadapi persatuan itu sehingga menyukarkan pasukan Selangor menghadapi saingan Liga Super musim depan, berikutan Azmin dilaporkan belum mengumumkan sebarang peruntukan kepada Red Giants.