Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

FAS Patut Ada Duit Lepas Jual Pemain Kata Bekas Pengurus

Bekas pengurus pasukan Selangor, Amirudin Shari mempersoalkan kedudukan kewangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang dilihat bermasalah meskipun seharusnya ‘kantung’ persatuan itu penuh selepas menjual beberapa pemain bintang The Red Giants.

Menerusi kenyataan media, Amiruddin berkata serangan menggunakan sentimen pembayaran gaji dan bonus pemain serta pampasan dilakukan pengurusan FAS terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan dirinya disifatkan kurang bijak memandangkan badan induk tersebut mempunyai keupayaan kewangan untuk menyelesaikannya.

Tambah bekas pengurus pasukan Selangor itu, secara tidak langsung serangan berkenaan membuktikan ketidakcekapan pengurusan badan induk tersebut melaksanakan tugas mereka dengan berkesan, selain kegagalan mentadbir kewangan FAS dengan baik.

“Dalam pengetahuan saya, FAS mempunyai lebih kurang RM2.5 juta selepas menjual beberapa pemain kepada negeri dan kelab bola sepak lain.

“Ini jika dikira pada tahun 2016 adalah bermula dengan penjualan Mohd Azrif Nasrulhaq diikuti Ahmad Hazwan Bakri dan R Gopinathan ke Johor Darul Ta’zim dan tidak termasuk penjualan Shahrom Kalam dan Mohd Hafiz Kamal kepada pasukan Perak.

“Semua mereka masih lagi mempunyai baki kontrak ketika berhijrah. Persoalannya ke mana perginya wang berkenaan?,” katanya dalam siaran media itu.

Pada masa sama, Amirudin turut mengkritik pendekatan mempergunakan kenyataan pemain Selangor di media massa bertujuan mewujudkan persepsi seolah-olah Presiden FAS sebagai tidak bertanggungjawab.

“Saban tahun, kerajaan negeri memberikan peruntukan tahunan kepada FAS sekali gus memberi makna wang hasil jualan dan perpindahan pemain serta jualan tiket penting iaitu dua perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 dan 2016 tidak pernah diusik dan tidak mengambil kira kutipan tiket perlawanan Liga Super dan Piala FA.

“Mungkin FAS berminat untuk berkongsi ketelusan pengurusan kewangan mereka dengan penyokong dan menjelaskan bagaimana perbelanjaan persatuan diuruskan,” katanya lagi.

Ketika diminta mengulas mengenai penamatan kontrak bekas pengendali The Red Giants, Zainal Abidin Hassan yang didakwa dilakukan tanpa berbincang dengan barisan Exco FAS, Amirudin mendakwa tindakan diambilnya demi kepentingan menyelamatkan pasukan itu.

“Menjadi tanggungjawab dan kecekapan seorang setiausaha agung (Rosman Ibrahim) yang berwibawa membuat tindakan susulan di atas pengumuman presiden hatta melalui laman sosial sekalipun.

“Namun, Rosman tidak berusaha untuk menasihati presiden malah umum mengetahui apa yang berlaku pada Mesyuarat Exco pada Ogos yang sepatutnya membincangkan hal-hal berbangkit seperti ini,” katanya.

Media massa sebelum ini melaporkan kenyataan FAS mendesak Mohamed Azmin serta Amirudin supaya bertanggungjawab melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan bagi November 2016 meskipun sudah tidak lagi mahu bersama persatuan bola sepak negeri itu.

Rosman dalam satu kenyataan medianya semalam menegaskan keputusan mereka yang tidak mahu terbabit dengan pengurusan FAS seharusnya tidak dijadikan alasan untuk mereka lari daripada tanggungjawab dalam menunaikan apa yang sudah dijanjikan termasuklah pembayaran bonus mara ke final Piala Malaysia 2016.