GABUNGAN Desak FAS Akur Cadangan Raja Muda Selangor

Gabungan Kelab Penyokong Selangor (GABUNGAN) mendesak pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akur dengan cadangan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang meminta mereka melepaskan jawatan demi kebaikan dan perubahan positif bola sepak negeri ini.

Presidennya, Mohd Faizal Wahid berkata pengurusan FAS perlu bersikap profesional dan memberi kerjasama terhadap cadangan pelbagai pihak demi memastikan kemelut yang melanda dapat ditanggani segera.

Menurutnya lagi, GABUNGAN menyokong cadangan agar badan induk itu membentangkan kewangan termasuk berhubung hasil jualan pemain dan kutipan tiket sepanjang musim lalu dan musim 2015.

“Kita menyokong cadangan mantan pengurus Selangor agar FAS membentangkan kewangan termasuk berhubung hasil penjualan pemain serta kutipan tiket sepanjang musim 2015 dan 2016.

“Keengganan berbuat demikian jelas menggambarkan barisan Exco FAS tidak mahu bekerjasama serta kegagalan dalam tadbir urus persatuan,” katanya ketika dihubungi sebuah portal berita, hari ini.

Tambah Mohd Faizal lagi, sikap berdolak-dalih barisan Exco FAS dan saling menyalahkan pihak lain terhadap kemelut melanda hanya akan memburukkan lagi situasi semasa dan memberi kesan terhadap pasukan Selangor yang sedang membuat persiapan ke Liga Super musim ini.

Mohd Faizal turut berkata bahawa tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Pengurus Selangor, Amirudin Shari meletakkan jawatan dalam FAS adalah tepat dalam situasi semasa.

Tindakan Exco FAS yang tidak memberi kerjasama terutama terhadap cadangan penswastaan pasukan Selangor hanya akan memburukkan lagi keadaan, selain menyebabkan desakan agar pengurusan badan itu berundur semakin kuat.