Selangor, JDT Ikat Kedudukan Seri di Larkin

Selangor terpaksa akur kepada keputusan seri 0-0 dalam aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Perlawanan kedua-dua pasukan dilihat lincah dengan anak didik P Maniaum mengekalkan corak taktikal bertahan sehingga menyukarkan serangan pasukan tuan rumah pada 15 minit babak masa pertama.

Cubaan menarik dari pemain tuan rumah Gabriel Guerra pada minit ke-19 hampir menembusi gol Selangor, namun kelebihan itu gagal dimanfaatkan Azammudin Akil untuk menyambar bola yang melintang di hadapan pintuk gol.

Selang seminit kemudian, rembatan Brian Fereirra dari jarak 20 meter menyaksikan penjaga gol Selangor, Mohd Khairul Azhan terpaksa melayangkan tubuhnya bagi menepis bola yang menuju tepat ke gawang gol.

Mohd Khairul Azhan kekal kebal menjaga gawang gol dengan bejaya menangkap rembatan deras Guerra pada minit ke-31 selepas menerima bola sepakan lintang Azammudin.

Tindakan Azammudin meneruskan asakan ke gawang melalui rembatan sehingga bola terkena tangan kapten Selangor, Mohd Razman Roslan menyebabkan pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajuddin menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Fereirra pada minit ke-38 kepada JDT, namun berjaya ditepis Mohd Khairul Azhan.

Dalam babak kedua, JDT menggandakan asakan bagi memburu gol pertama, namun tidak berpeluang menghasilkan sebarang jaringan meskipun melancarkan gerakan berbahaya di posisi sayap kiri dan kanan.

Hajat JDT untuk meraih tiga mata penuh malam ini tidak kesampaian dan sekadar berpuas hati dengan kedudukan seri selepas pasukan Red Giants berjaya menghalang usaha skuad Harimau Selatan untuk menang bergaya di laman sendiri.