Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Piala FA, Hadiah Baddrol Bakhtiar Untuk Ibu

Impian wira pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar untuk menghadiahkan Piala FA kepada ibunya tercapai selepas dua jaringannya membantu Kedah menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Baddrol turut dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan di mana jaringan keduanya pada minit ke-73 menyukarkan Pahang untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

“Kemenangan ini saya hadiahkan untuk mak dan saya tidak menyangka dapat menjaringkan dua gol serta mendapat anugerah pemain terbaik,” kata Baddrol.

“Sasaran hanya untuk membantu pasukan menjuarai Piala FA dan jika dapat menjaringkan gol, ia adalah bonus buat saya,” katanya.

Pada aksi final malam tadi, Kedah bermula garang apabila meledak dua gol menerusi Ken Ilso Larsen (m-20) dan Baddrol (m-45).

Namun Pahang yang bermain 10 orang selepas Francisco Insa dilayangkan kad merah, bangkit merapatkan jurang menerusi Heo Jae-won sejurus sebelum rehat.

Di babak kedua, Pahang menguasai permainan dan deretan percubaan dihasilkan namun berjaya dipatahkan benteng Kedah.

Jaringan kedua Baddrol ternyata menjadi pemisah apabila Pahang sekali lagi merapatkan jurang pada minit ke-80 menerusi Mohamadou Sumareh.