Sukan SEA 2017, Barisan Serangan Skuad Negara Perlu Lebih Efektif, Kata KJ

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin percaya skuad bola sepak bawah 22 (B-22) negara berpotensi untuk melangkah lebih jauh pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) selepas menyaksikan sendiri pasukan negara menewaskan Brunei 2-1 pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Shah Alam, malam ini.

Beliau berkata barisan serangan negara perlu lebih tajam dan efektif untuk menghasilkan jaringan pada perlawanan seterusnya bertemu Singapura Rabu ini.

“Kita sepatutnya boleh memenangi perlawanan ini dengan lebih banyak jaringan namun mendapatkan tiga mata pada aksi pertama ini sudah memadai.

Saya melihat pasukan (B-22) kita memang ada potensi, tinggal lagi barisan serangan perlu perbaiki dari segi penyudah,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di Shah Alam.

Kemenangan malam ini menyaksikan skuad negara menduduki tangga kedua dengan berkongsi tiga mata bersama Myanmar yang mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Singapura pada perlawanan di sebelah petang.

Selepas Brunei, skuad negara akan bertemu Singapura pada Rabu diikuti Myanmar (21 Ogos) dan Laos (23 Ogos).

Kesemua perlawanan membabitkan skuad negara akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada pukul 8.45 malam. – BERNAMA