Nelo Vingada Umum Lepas Jawatan Jurulatih Skuad Harimau Malaya

Nelo Vingada hari ini secara rasmi melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan susulan prestasi buruk skuad Harimau Malaya yang gagal meraih sebarang kemenangan sepanjang tahun ini, sejak beliau mengambil alih tugas itu pada Mei lepas.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, Vingada berkata tindakan meletak jawatan itu diambil selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selain mahu bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan beliau.

“Selepas berbincang dengan Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, saya bertanggungjawab terhadap prestasi pasukan kebangsaan. Atas rasa tanggungjawab itu, saya dengan ini mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan, ini berkuat kuasa serta merta dan Tunku Presiden sendiri menerima keputusan saya itu,” katanya.

Selain Vingada, dua pembantunya, Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa, turut melepaskan jawatan masing-masing selaku penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan skuad kebangsaan.

Vingada, 64, yang diberi jolokan ”The Professor” susulan kebijaksanaan menguruskan pasukan dibimbingnya sebelum ini gagal membawa sebarang kemenangan. Pasukan Harimau Malaya bawah kendaliannya hanya mencatat satu keputusan seri dan enam kekalahan sepanjang tahun ini.

Jurulatih kelahiran Portugal itu yang dilantik dengan harapan mampu mengubah nasib bola sepak negara sekurang-kurangnya layak ke saingan Piala Asia 2019, turut gagal dalam melaksanakan misi itu selepas skuad negara menduduki tangga tercorot dalam saingan kumpulan pada pusingan kelayakan.

Sementara itu, FAM hari ini mengesahkan menerima peletakan jawatan Vingada.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan dikeluarkan badan induk itu, mengucapkan terima kasih kepada Vingada serta dua pembantunya, Joao dan Francisco yang turut melepaskan jawatan dalam skuad kebangsaan.

“FAM selepas merujuk perkara ini kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden FAM menerima peletakan jawatan Nelo Vingada sebagai ketua jurulatih kebangsaan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Hamidin memaklumkan dua jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe dan Azmin Azram Abdul Aziz masih kekal dengan jawatan mereka selaku penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol skuad kebangsaan.

Hamidin turut berkata perancangan dan perkembangan terbaru skuad kebangsaan bagi musim 2018 akan dimaklumkan FAM atau Tunku Presiden sendiri dalam masa terdekat. – BERNAMA