Jamal Beri Amaran ‘Tukul’ Kepala Zaid Jika Polis Tidak Ambil Tindakan

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos memberi amaran akan ‘menukul’ kepala pemimpin DAP, Datuk Mohd Zaid Ibrahim jika tiada tindakan dikenakan terhadap pemimpin itu oleh pihak berkuasa tempatan selepas laporan polis dibuat dua hari lalu.

Jamal berkata beliau terpaksa memberi amaran sedemikian bagi mendesak pihak polis untuk mengambil tindakan segera terhadap Zaid yang memutarbelitkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamed.

Kata Jamal, seandainya tiada tindakan dikenakan terhadap pemimpin DAP itu, beliau dan kumpulannya akan mengambil tindakan yang difikirkan wajar.

“Seluruh rakyat negeri Selangor sudah hilang sabar. Kalau tidak ada tindakan, esok, ke atas haram jadah ini, hammer (tukul) inilah yang akan kami hammer (menukulkan) kepala dia.

“Ini adalah amaran keras daripada kami kerana kami rakyat negeri Selangor, anak Selangor, tidak mahu sesekali raja kami, sultan kami dihina, dianjak, dicaci,” katanya di luar bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung Umno 2017, hari ini.

Jamal mempersoalkan tindakan polis menahannya kerana memecahkan botol arak di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sebagai bantahan terhadap kebenaran pesta arak di Selangor.

Namun hanya berdiam diri terhadap pemimpin itu kerana membiarkan Zaid mengeluarkan kenyataan yang menguris perasaan orang Melayu dan Islam.

Tindakan Jamal mengadakan gimik ‘menukul’ plakad dengan wajah Zaid itu dipercayai susulan titah Sultan Selangor yang melahirkan rasa dukacita terhadap komen Zaid melalui Twitternya.

“Saya dukacita dengan komen Zaid Ibrahim dalam Twitternya yang mengulas kenyataan saya (mengenai Dr. Mahathir) dalam akhbar The Star. Saya minta Zaid Ibrahim baca dengan teliti kenyataan saya dan dapatkan fakta yang betul sebelum buka mulut,” titah Sultan Sharafuddin sebelum ini.

Sultan Sharafuddin turut mengarahkan Zaid untuk keluar dari Selangor sekiranya tidak bersetuju dengan teguran baginda kepada Dr Mahathir.

“Dia duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar-besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor”.

Baginda Sultan menerusi temubual bersama akhbar The Star sebelum ini menegur Dr Mahathir berhubung isu penghinaan kepada keturunan Bugis, isu kerugian Bank Negara ekoran dagangan mata wang asing serta pengkhianatan kepada Umno.