Keputusan Mahkamah Bukti Ketelusan SPR Dalam Isu Persempadanan Semula

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak semakan kehakiman oleh kerajaan negeri Selangor berhubung Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi negeri Selangor, menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melaksana tugas dengan telus selaras dengan kehendak perundangan.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata SPR berpandangan keputusan yang dibuat olehmahkamah adalah tepat.

“Keputusan ini membuktikan bahawa SPR telah menjalankan proses urusan persempadanan semula bagikesemua Negeri-Negeri Tanah Melayu dengan telus selaras dengan kehendak perundangan,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya.

Mohd Hashim berkata keputusan itu juga secara tidak langsung menafikan tuduhan pihak berkenaanterhadap SPR yang didakwa melaksanakan proses ini atas dasar kepentingan pihak-pihak tertentu.

Namun begitu, katanya, mahkamah telah membenarkan permohonan kerajaan negeri Selangor untukmenggantung proses inkuiri tempatan bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, sehingga rayuannya diputuskan.

Justeru, beliau berkata SPR akur dengan keputusan tersebut dan akan mematuhinya sehinggalah proses perundangan berkaitan kes berkenaan selesai sepenuhnya atau keputusan sebaliknya diputuskan, sekiranyaterdapat sebarang rayuan difailkan oleh pihak -pihak terlibat. – BERNAMA