Najib Hadir Meriahkan Jamuan Makan Malam Persidangan Umno Tahun Ini

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini menyertai kira-kira 3,000 tetamu yang hadir memeriahkan jamuan makan malam Perhimpunan Agung Umno 2017 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba pada pukul 8.30 malam dan sempat beramah mesra dengan para perwakilan Umno, pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) serta delegasi parti-parti luar negara yang menghadiri majlis berkenaan.

Hadir sama Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Bendahari Umno Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Turut hadir, Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Timbalannya Tan Sri Mohamed Aziz serta anggota-anggota Majlis Tertinggi Umno.

Majlis itu diserikan dengan persembahan tarian oleh penari Istana Budaya serta nyanyian artis popular dan veteran antaranya Anuar Zain, Wany Hasrita, R. Ismail dan S. Atan yang diiringi Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. – BERNAMA