Menyusui Monyet

PADA tahun-tahun 70-an dan 80-an masyarakat sering memperkatakan tentang ‘minah kilang’ serta pandangan sinis terhadap mereka. Sedikit pula yang sedar tentang peranan ‘minah kilang’ itu kepada ekonomi negara terutamanya dalam konteks mengangkat Malaysia sebagai negara pengeluar bahan-bahan elektronik yang tersohor baik di gugusan ASEAN mahupun pada pentas global.

Lebih penting lagi golongan ini telah dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga yang sebelumnya hidup di bawah aras kemiskinan.

Mungkin atas sebab persepsi genjot terhadap minah kilang, peluang pekerjaan sedemikian telah dirampas sedikit demi sedikit oleh pekerja asing; bukan sahaja dari Indonesia, malah Bangladesh, Myanmar, India, Nepal, dan Vietnam.

Jika difikirkan tentang gaji, terdapat juga anak-anak tempatan kini yang sanggup bekerja dengan gaji lebih rendah di pusat membeli-belah daripada bekerja di kilang. Namun pekerjaan sedemikian amat terhad dan tidak membantu penurunan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan.

Hakikatnya pada senario kemasukan pekerja asing di negara ini, kita diasak bukan sahaja oleh pekerja asing yang diimport secara sah tetapi juga dengan lambakan PATI, yang entah bagaimana mereka mudah meloloskan diri.

Daripada Kementerian Sumber Manusia, dianggarkan sebanyak 6.7 juta pekerja asing berada di negara ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2.1 juta pekerja asing mempunyai permit dan dokumen yang sah, sedangkan selebihnya iaitu 4.6 juta adalah pekerja atau pendatang haram.

Pekerja asing beratur menaiki bas untuk pulang ke tempat penginapan.

Hari ini kita dapat melihat dengan jelas kawasan-kawasan tertentu yang menjadi zon koloni pekerja asing kerana terdapat satu kecenderungan tertentu apabila mereka ini dilonggokkan oleh majikan di kawasan-kawasan tertentu.

Misalnya Seksyen 15, Shah Alam, seakan-akan menjadi bandar pekerja asing, khususnya Bangladesh dan Vietnam, pendatang Indonesia pula amat dominan di Klang, di Jalan Chow Kit Kuala Lumpur, koloni Indonesia sudah menjadi kecil dengan lambakan pendatang asing Bangladesh, dan yang anehnya kawasan Bukit Bintang juga dipenuhi dengan pendatang dari Timur Tengah dan Afrika.

Di sesetengah bandar, seperti di Kota Damansara, dan banyak lagi, rakyat tempatan amat sensitif untuk membeli pangsapuri sekiranya ia menjadi tempat penempatan pekerja asing kerana bimbang akan keselamatan mereka.

Kadar jenayah yang melibatkan pekerja asing di negara ini juga tinggi, misalnya rekod pada 2014 mencatatkan 9,523 kes jenayah melibatkan pekerja asing dengan perincian jenayah kekerasan; 167 kes bunuh, 138 kes rogol, 1385 rompakan dengan senjata api, 1008 rompakan tanpa senjata api, dan 498 kes jenayah mencederakan mangsa. Kita belum lagi menyelak soal pencabulan budaya akibat daripada lambakan pendatang asing di negara tercinta ini.

Satu kajian perlu dijalankan oleh kerajaan untuk mengcungkil punca mengapa rakyat tempatan dipinggirkan dalam sektor perindustrian dan jika ia signifikan, mengapakah rakyat tempatan menolak untuk bekerja di kilang-kilang elektronik di negara ini, sebagaimana pernah disarankan oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia.

Kebergantungan negara kepada pekerja asing lebih banyak membawa risiko aliran keluar wang negara yang memberi kesan negatif. Malah secara tidak langsung kita bukan membantu peningkatan ekonomi sendiri tetapi sibuk meningkatkan ekonomi negara pekerja pendatang itu.

Daripada ranking IMF (International Monetory Fund), agak mengejutkan apabila negara jiran Singapura yang terkenal kerana ekonominya yang mapan, kini amat corot pencapaian KDNK-nya malah hampir seangkatan dengan Bangladesh.

Ramai rakyat Bangladesh yang berbondong diimport masuk ke Singapura sehingga mengakibatkan pencemaran budaya di negara itu. Adakah ini sebahagian punca corotnya ekonomi Singapura sedangkan ekonomi Bangladesh semakin meningkat?

Namun negara Indonesia yang terkenal dengan pengeksportan rakyatnya ke negara luar telah menggarap pencapaian yang hebat dalam konteks KDNKnya.

Kerajaan Malaysia adalah negara contoh yang amat baik dan cemerlang dalam konteks membantu, menderma, dan memberi pekerjaan kepada rakyat asing, bukan sahaja dalam konteks buruh asing tetapi juga terhadap pelarian politik, dan tanpa sedar kita juga mengimport penjenayah.

Kita membantu pelarian politik Myanmar, dan juga Vietnam pada suatu ketika dahulu, tetapi kita jangan lupa bahawa dalam kalangan mereka terdapat golongan yang mahu mengambil kesempatan ekonomi dan berlakon sebagai pelarian politik.

Majikan suka menggajikan pekerja asing kerana kos yang murah, namun rakyat tempatan sentiasa resah memikirkan kehadiran mereka di kawasan kejiranan.

Dalam senario ekonomi terkini, ramai rakyat tempatan yang menganggur dan dibuang kerja; lantas jangan nanti kita menjadi bahan bidalan “anak kandung mati kelaparan, sedangkan monyet di hutan kita susukan.”