Rasuah Dan Nepotisme Selangor

SEBAGAI rakyat yang tidak prejudis tetapi berfikiran rasional, kita harus memuji kerajaan dan pengurus tadbir yang jujur, ikhlas, dan tidak bermatlamatkan kepentingan diri sendiri, tidak mementingkan kroni, tidak mengamalkan nepotisme sebaliknya mengutamakan prinsip-prinsip urus tadbir profesional yang bijaksana, kaya budi bicara dan bertimbang rasa.

Semasa Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) memegang tampuk kerajaan negeri Selangor sebagai Menteri Besar (MB) kita dapat rasakan keprihatinan dan urus tadbir yang baik terutamanya dalam hal mengawal wang rakyat serta kebajikan rakyat.

Tuduhan-tuduhan mengurus secara korporat hanyalah ‘lame excuses’ dan gundah-gulana pihak tertentu kerana tidak ada wang yang masuk ke kantung peribadi serta kroni mereka. Golongan inilah yang mengotorkan konsep politik dengan falsafah genjot mereka dan menjadikan politik sebagai ‘game of power’.

Saya ingin memetik sebahagian daripada keluhan rakyat: “Persoalan besar yang timbul di kalangan rakyat marhaen sekarang ialah kenapa Tan Sri Khalid Ibrahim perlu ditukarkan?. Apakah kewajarannya dan kenapa tidak boleh tunggu sehingga habis penggal? Ini yang mencurigakan ramai pihak sebenarnya. Mereka tertanya-tanya, kenapa Menteri Besar Selangor yang berkhidmat dengan cemerlang dan terbaik itu mahu ditukarkan?

TSKI amat berhemah dalam soal pengurusan kewangan kerajaan. Beliau tidak mahu menggunakan dana hak rakyat untuk mengayakan jerung-jerung politik yang pelahap daripada PKR.

TSKI amat sedar dan bertanggungjawab ke atas setiap ringgit yang dibelanjakan dan tidak wewenang menjamu tembolok golongan pelahap PKR yang mengelilinginya, mahupun yang berada dalam penjara.

Pasti benar kata kepimpinan tertinggi PAS bahawa TSKI tidak khianat kepada rakyat. Sebaliknya sifat ini tidak digemari pemimpin PKR.

Kata Tuan Guru Haji Hadi, “Jika sekiranya, beliau (Khalid) terlibat dengan skandal, terlibat dengan pecah amanah, salah guna duit Selangor itu boleh kita tukar…Saya berpendapat majoriti akar umbi PAS bersetuju dengan Tan Sri Khalid Ibrahim ini dikekalkan jawatan Menteri Besar.”

Malangnya TSKI tetap dinyahkan daripada kerusi Menteri Besar Selangor hasil agenda ‘Langkah Kajang’ PKR yang amat jijik dan kotor. Komponen parti politik dalam Pakatan Rakyat sendiri pun, seperti PAS berbalah dengan PKR dan agenda kotor mereka. Rakyat tahu agenda tersembunyi golongan pelahap ini, tidak lain selain daripada kekayaan Selangor yang mahu mereka perkosa melalui kronisme dan nepotisme.

Beberapa hari kebelakangan ini heboh pula dalam media massa kes anak saudara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang ditahan reman kerana aktiviti songsangnya dalam projek lombong pasir.

Agak menghairankan juga, mengapakah harus dimasukkan kosa kata “anak saudara MB Selangor”? Kalau subjek itu terlibat dengan rasuah, itu soal peribadi dia yang harus ditanggung sendiri, sebaliknya mengapakah pihak media terlalu gelojoh mahu dikaitkan dengan nama Menteri Besar?

Walau bagaimanapun jika rakyat menggunakan logika akal atau cuba memainkan peranan sebagai forensik rasuah, rakyat pasti terdorong untuk mengaitkan subjek dengan MB Selangor kerana subjek dilaporkan tiada pekerjaan tetapi hidup mewah dan kaya raya. Adakah ini merupakan skandal nepotisme dan kronisme MB Selangor?

Malaysian Digest melaporkan:

“Mohd Nuzul Fadli (anak saudara MB Selangor) dituduh terlibat dengan kes rasuah projek perlombongan pasir di Selangor dan serbuan SPRM ke kediamannya menemukan wang tunai lebih RM4 juta ringgit yang kemudiannya dirampas. Akaun bank milik pemuda berusia 34 tahun itu juga turut dibekukan. Menurut laporan media, Mohd Nuzul Fadli tidak bekerja namun mengamalkan kehidupan mewah dipercayai menggunakan kedudukannya sebagai anak saudara kepada Menteri Besar Selangor.”

Nampaknya sebahagian daripada prinsip kerajaan Selangor yang mahu membebaskannya daripada rasuah telah tercela. Walau bagaimanapun amat tidak adil bagi rakyat jelata menghukum MB Selangor hanya dengan perhitungan mahkamah media.

Isu ini menjadi lebih dramatik pula, apabila perbalahan keluarga MB Selangor turut didedahkan dalam media massa. Ia amat mengaibkan namun semuanya menjadi bungkah-bungkah jigsaw yang mempersoalkan integriti MB Selangor serta ‘Langkah Kajang’ yang menganiaya TSK tempoh hari.

Malaysian Digest turut menelanjangkan perbalahan keluarga MB:

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali ditempelak adiknya sendiri, Azwan Ali, gara-gara skandal rasuah melibatkan anak saudara mereka, Mohd Nuzul Fadli Mohd. Noriyualsaid yang diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), minggu lalu.

Azwan merupakan pelakon dan selebriti popular mengutuk perlakuan Azmin dan anak buahnya yang memalukan keluarga.

“Sudah jatuh ditimpa taik! sudahlah disaman berbilion dengan Syabas, anak kesayangan dicekup SPRM. Ni ker ilmu agama yang arwah bapa kau ajar?

“Ini ker semangat pulut kuning mak kau yang baru saja arwah? Muhasabah,” tegas Azwan dipetik kenyataan di Facebook.

Dalam pada itu, Azwan menyifatkan penahanan anak buahnya, Mohd Nuzul Fadli oleh SPRM merupakan balasan tuhan kerana meminggirkan beliau selama ini.

“Aku tatang kau macam minyak penuh sejak kecil! Kau antara anak saudara paling bernasib baik dapat sanjungan Azwan Ali. Tapi itu dulu! Bila kau kahwin, kau haram jemput Che Wan (Azwan Ali)?

“Gara-gara kau besarkan Azmin Ali, kemudian kau dengar hasutan mak bapa kau untuk tak jemput atau paruah aku sebagai pakcik kau.

“Sekarang tuhan bayar tunai! Kau sudah meringkuk dalam lokap untuk siasatan SPRM! Kau meroyan kepada Azmin Ali suruh lepaskan kau!

“Muhasabah lah sebelum bala lebih besar terutamanya mak kau yang tak habis caci hina Azwan Ali,” katanya yang dimuat naik dalam akaun Facebook Azwan.

Sebagaimana dilaporkan oleh TV14, Umi Hafilda Ali membuat kenyataan:

“Saya tahu siapa Ketua Lanun mereka, cakap berdegar-degar nak hapuskan rasuah tapi diri sendiri, keluarga dan kroni penuh tahi”. Kata Ummi Hafida menyindir Azmin.

Ummi Hafilda dalam satu komen di facebook turut membayangkan bahawa selama ini beliaulah yang melaporkan kegiatan Nuzul Fadli anak saudaranya yang kaya-raya itu kepada SPRM.

“Ini bukan pasal PRU, saya makcik dia I mean boy. Saya tahu kemungkaran dia dan Pak Tehnya Azmin Ali. SPRM dah ikut lama dekat setahun, bukti kukuh baru cekup, tak payah fitnah SPRM pula. Tak tahu hujung pangkal”.

Daripada kenyataan yang dibuat oleh ahli keluarga terdekat MB Selangor, maka lagi sekali rakyat terkedu dengan gelagat, integriti, dan moralnya. Bagaimanakah rakyat jelata boleh menghormati sekiranya ahli keluarga sendiri sudah melabelkannya sebagai ‘lanun’. Sedangkan rakyat baharu sahaja dipersembahkan dengan perhimpunan ‘kleptokrasi’ yang ditujukan kepada pemimpin BN, tetapi rakyat tidak tahu dalam PKR telah lama wujud ‘lanun’.

Nampaknya politik telah mengelabukan mata rakyat tentang peribadi pemimpin. Gejala ini amat memalukan.

SPRM telah bertindak profesional, dan bukannya atas dasar partisan yang kebetulan menjelangnya PRU14. Penyiasatan dilaporkan telah dibuat sejak lama dahulu sebelum serbuan dan tangkapan dibuat.

MalaysiaToday telahpun beberapa kali mendedahkan skandal rasuah lombong pasir di Selangor yang mungkin berkaitan dengan isu rasuah anak saudara Menteri Besar Selangor itu, sejak tahun 2012 lagi.

Selain daripada anak saudara MB, abang MB, Azman Ali juga sedang dalam perhatian SPRM. Sekiranya semua senario rasuah ini terbabit dan tersabit dengan kuasa yang ada pada MB Selangor, maka sekali gus juga ia pasti membabitkan PKR Selangor.

Keangkuhan sesetengah pihak dalam PKR untuk menguar-uarkan penglibatan parti komponen BN dengan isu rasuah sehingga dijaja di Amerika Syarikat, nampaknya merupakan suatu hipokrasi belaka.

Sebagaimana kata John Milton, “Biarkan kebenaran dan pembohongan bertemu dalam ‘pasar idea’ (media massa), akhirnya nanti kebenaran akan menang.”

Allah berfirman dalam surah An-Nur ayat 19, marfumnya, “Sesungguhnya Allah tahu apa yang sebenar-benarnya benar, sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Benarlah firman Allah itu.

Terserahlah kepada rakyat jelata khususnya rakyat Selangor untuk memikirkan dan menilai sendiri integriti MB dan kerajaan Selangor, lebih-lebih lagi menjelangnya PRU14 ini.

Walau bagaimanapun keputusan yang didasari undang-undang hanya boleh diputuskan oleh mahkamah. Itupun hanya mahkamah dunia.