Tun Dr Mahathir Kembali Sebagai PM

PADA 4 Disember dalam pemukiman pemimpin Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, pemilihan melalui undian telah dibuat untuk menentukan siapakah dalam kalangan pemimpin PKR yang akan menjadi Perdana Menteri.

Secara rasminya pemimpin PKR bersetuju untuk melantik Tun Dr Mahathir (TDM) sebagai Perdana Menteri sekiranya PKR memenangi PRU14 nanti.

Star Online melaporkan walaupun keputusan telah dibuat dalam kalangan kira-kira 40 wakil pemimpin PH, namun terdapat juga bangkangan terhadap keputusan itu.

Tian Chua pasti masih ingat ketika dia ditahan pada tahun 1998 kerana bersama Reformasi menentang TDM.

Timbalan Presiden PKR, Tian Chua membangkang keputusan itu dan enggan menerimanya sebagai keputusan muktamad. Beliau berpendapat bahawa perkara penting sedemikian tidak wajar hanya diputuskan oleh hanya beberapa wakil dan beliau mencadangkan agar ia dibincangkan di peringkat parti masing-masing.

Pemimpin sayap pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga membuat kejutan apabila beliau mendedahkan bahawa bancian dalaman mendapati pemimpin pemuda PPBM lebih cenderung untuk memilih Datuk Seri Azmin Ali. Syed Saddiq juga mempersoalkan mengapakah sayap pemuda PPBM tidak dirujuk sebelum memutuskan keputusan pemilihan TDM sebagai perdana menteri.

Syed Saddiq menyatakan bahawa pemimpin PH suka mengkritik Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya bertindak sebagaimana orang yang mereka kritik.

Tidak jelas siapakah hipokrit yang dirujuk oleh Syed Saddiq, namun ramai sudah tahu sebagaimana yang didedahkan oleh MalaysiaToday mahupun Selangorpress, TDM sering mengutuk pemimpin lain, namun hakikatnya kutukan yang dibuat amat signifikan tertuju kepada dirinya sendiri.

TDM pernah mengkritik ahli politik Melayu yang keluar parti dan kemudiannya bersekongkol dengan parti politik cauvinis Cina. Kata TDM“Mereka lebih berkuasa kerana orang Melayu asyik berperang sesama mereka. Dan bila berperang pula pi cari orang Cina nak suruh sokong, berpeluk-peluk dengan orang Cina pasai nak sokongan dia. Jadi dia naik tocang kerana kita hendak sangat sokongan dia.” Sebaliknya sekarang siapakah yang bersekongkol dengan parti cauvinis Cina?

TDM juga mengkritik bekas pemimpin UMNO yang apabila keluar daripada parti, mereka menabur fitnah yang bukan-bukan terhadap UMNO. Katanya, “Mereka apabila disingkir daripada Umno mereka melemparkan fitnah kepada UMNO dan cuba mendapat sokongan daripada parti lawan. Orang ini perjuangannya amat cetek.” Ketika ini siapakah yang menabur fitnah untuk menutup kesalahannya yang lalu?

Timbalan Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (TSAR) , yang turut hadir dalam pemukiman itu, menegaskan bahawa majoriti pemimpin PH yang hadir memilih TDM. Katanya, “Orang ramai harus tahu, siapakah pemimpin PH yang akan menerajui negara sekirannya PH menang. Tidak kiralah sejauhmana kamu berbincang, keputusannya tetap sama – TDM tahu kerja-kerja (sebagai PM).”

Jika dianalisis, dengan lojika politik, sememangnya amat baik jika TDM diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang dikitar semula, seperti surat khabar lama yang dikitar semula menjadi kertas baru yang lebih murni dan bersih.

Lalu tiadalah lagi sesiapa yang akan mensabotaj ekonomi negara sehingga ke peringkat global. Tiadalah juga nanti sesiapa yang akan mengadu-domba bahawa Perdana Menteri Malaysia adalah lanun, Perdana Menteri Malaysia lewah dengan kleptokrasi, dan Perdana Menteri Malaysia diktator.

Dengan TDM sebagai perdana menteri, negara juga akan aman, kerana ISA mungkin akan dihidupkan semula atau SOSMA akan dipergunakan untuk mengheret Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hadi, Datuk Seri Najib, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Tian Chua dan malah sesiapa sahaja yang membangkangnya termasuk Lim Kit Siang, ke Kemunting.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin akan dibiarkan lebih lama dalam penjara kerana jika dia keluar dia akan menjadi pencabar utama kepada TDM.

TDM dan Soros sebagai sahabat baik

TDM juga boleh mengulangi lagi sekali pertaruhan mata wang asing dan menggunakan wang rakyat daripada Bank Negara supaya negara menjadi kaya raya. Malah TDM boleh melantik George Soros sebagai penasihat utama kerana Soros itu sebenarnya sahabat baik TDM.

Sebagaimana dilaporkan While Mahathir puts the blame of the 1997 collapse squarely on the shoulders of Soros, what is never mentioned and is not quite widely known (other than by those in the circle) is that Soros was not working alone. Mahathir and his boys were working in concert with Soros.(Meskipun Mahathir menyalahkan kejatuhan (ringgit) pada 1997 sepenuhnya ke atas bahu Soros, tetapi apa yang tidak dinyatakan dan tidak begitu disebarkan (kecuali mereka yang bersekongkol) ialah Soros bukan bekerja sendirian. Mahathir dan budak-budaknya bekerja seiring dengan Soros.)

Rakyat juga akan hidup aman bahagia kerana tiada lagi pembangkang yang akan melalak-melolong di jalanan kerana mahu pemimpin yang ‘bersih’ kerana TDM sudah pun berada dalam kem Bersih dan Reformasi.

PAS pun tidak pandai nak melalak-melolong di tepi-tepi jalan seperti pasar malam dengan diupah oleh dana tangan asing sebagaimana PKR-DAP melalak-melolong kutuk TDM dahulu atas nama Reformasi. Lagipun PAS sudah tidak lagi berkawan dengan syaitan. Syaitan pun boleh berehat jika TDM menjadi PM, kerana geng syaitan sudah berkuasa.

Kali ini, sekiranya TDM dipilih, perdana menteri tidak ‘Bersih’ pun tidak mengapa kerana ia sudah berada dalam pasukan Bersih dan Reformasi. Malah mereka juga sudah sedar bahawa Bersih dan Reformasi tidak lagi relevan kerana PM sudah berada sekandang dengan mereka. Memang pun Reformasi sejak dahulu tidak relevan kerana Reformasi tu adalah ‘carbon copy’ dari Indonesia saja untuk jatuhkan Suharto, malah Reformasi adalah agenda tersembunyi tangan asing.

Bagus juga TDM diangkat menjadi Perdana Menteri kerana umor 90-an sudah hampir penghujung, nanti kalau dia “pergi” yang paling layak menjadi pengganti ialah Lim Kit Siang kerana DAP-lah parti paling dominan dengan 37 kerusi parlimen, sedangkan PKR hanya 28, PAN enam, manakala PPBM hanya satu.

Walau bagaimanapun, harus disedari bahawa DAP telah memenangi kerusi parlimen di kawasan tertentu atas ihsan penyokong PAS dan PKR. Begitulah juga wakil PKR yang menang di kawasan tertentu kerana didorong oleh faktor ihsan penyokong DAP dan juga PAS. Namun dalam PRU14 nanti PAS sudah tinggalkan mereka. Penyokong PAS tidak akan lagi menyokong PKR apatah lagi DAP dan PAN.

Parti lain dalam Pakatan Harapan akan menjadi parti ‘inferior’ kerana masing-masing masih mentah dan hingusan, usia baru satu-dua tahun, berbanding DAP. Itupun Menteri Besar Selangor, PKR sedang gelabah dan demam panas kerana anak saudara dia yang disayangi sudah direman kerana kes rasuah pasir sungai.

Kalau TDM tiada, adakah Wan Azizah akan dilantik sebagai pengganti? Wan Azizah mungkin tidak mampu untuk menjadi PM kerana dia sendiri pernah membuat pengakuan untuk rehat duduk rumah jadi nenek jaga cucu.

Sebagaimana dilaporkan oleh ADUN Telok Ayer Tawar, Datuk Jahara Hamid, “Wan Azizah sekarang sudah menjadi ADUN Kajang, yang mana dahulu apabila nak beri laluan kepada Anwar beliau menggunakan alasan nak beri tumpuan kepada keluarga dan mahu jaga cucu. Tetapi sekarang, sama ada beliau nak jaga Kajang atau cucu atau nak jaga orang di Permatang Pauh pula?” 

Malah semasa temu bual eksklusif bersama Al-Jazeera, ke­ga­ga­lan­­ Datuk Seri Wan Azizah menjawab soalan yang ditujukan kepadanya dengan je­las.

Raja Petra Kamarudin melalui MalaysiaToday dalam komentarnya berpendapat temu bual eksklusif itu merupakan malapetaka ke­pada Wan Azizah yang terdapat juga ura-ura bakal diangkat menjadi Perdana Menteri jika pembangkang menang PRU14.

Tambah Raja Petra lagi, “Beliau mengelak daripada menjawab banyak soalan dan seringkali memberi jawapan yang menyimpang apabila tidak mempunyai sebarang jawapan. Ia jelas menunjukkan bahawa Wan Azizah tidak mempunyai hala tuju dan hanyalah seorang proksi yang tidak membuat sebarang keputusan, sebaliknya membawa keputusan yang telah dibuat oleh orang lain,” katanya dalam catatan terbaharu di blog Malaysia Today.

Mengulas lanjut Raja Petra berkata, apa yang menarik dalam temu bual itu adalah ja­wapan yang diberikan oleh Wan Azizah kadangkala bercanggah dengan pendirian PKR terma­suk Pakatan Harapan.

Ketika ditanya sa­ma ada beliau menyokong hu­kum hudud, Presiden PKR itu berkata, sebagai seorang penganut agama Islam beliau menyokongnya, namun tidak memberi jawapan jelas sama ada hukum tersebut akan dilaksanakan atau tidak jika pembangkang menguasai Malaysia, sedangkan parti DAP yang lebih dominan dalam PH, sejak dahulu lagi menentang hukum hudud.

Keputusan Pakatan Harapan dalam pemukiman di Putrajaya itu juga dilihat sebagai satu lagi sandiwara parti pembangkang, kerana Wan Azizah sendiri sudah berjanji akan membangkitkan kes-kes Mahathir ke mahkamah untuk didakwa atas segala salah-laku semasa dia menjadi PM sekiranya PH menang PRU14 nanti.

Parti komponen PH iaitu DAP di Pulau Pinang pula telah mendedahkan pada rakyat dalam isu pengendalian bantuan banjir di DUN Bukit Bendera yang dipegang oleh wakil rakyat PKR bahawa PKR hanyalah rakan inferior mereka.

Dengan jelas DAP tidak menghormati Datuk Seri Wan Azizah sebagai Presiden PKR, apatah wakil rakyat PKR yang lain. Apakah dengan pelantikan Wan Azizah nanti sebagai PM, amat mudah bagi DAP menjadikannya sebagai boneka mereka?

Rakyat sedang menanti apakah lanjutan RCI (Penyiasatan Suruhanjaya DiRaja) berkenaan skandal matawang asing yang melibatkan TDM. Sekiranya TDM menjadi perdana menteri, pastinya ia menjadi satu ‘priviledge’ kepada TDM. Kes skandal ini akan ditutup dan bersihlah karektor PM Malaysia dari segi undang-undang walaupun tidak dari aspek moral.

Namun rakyat juga sedang berfikir, adakah keputusan pemukiman PH itu merupakan sebahagian daripada modus operandi DAP ‘use Malays to screw Malays’ (gunakan Melayu untuk memperkosa orang Melayu) dan sebagaimana kata Datuk Seri Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO 2016, “kita semua tahu siapakah manusia Melayu yang digunakan DAP untuk “screw” Melayu”.