‘Superman’ Direman Bantu Siasatan Hina Najib

Mahkamah Majistret Kulai pagi ini membenarkan permohonan polis untuk menahan reman bekas Ketua DAP Teluk Intan, Hew Kuan Yau selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penghinaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman sosialnya baru-baru ini.

Majistret, Ahmad Farid Ahmad Kamal membenarkan permohonan polis untuk menahan reman Hew di bawah Seksyen 233 (1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi membantu siasatan berhubung tindakannya itu.

Hew, yang juga dikenali sebagai ‘Superman‘ kalangan penyokongnya ditahan polis di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) Pulau Pinang, 1 petang semalam dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, Johor untuk siasatan lanjut.

Pada 13 Mac lalu, Hew melalui akaun Facebooknya didakwa mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri dengan melabelkan pemimpin tersebut sebagai watak dalam filem animasi Disney, Beauty and The Beast.