Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Juruterbang Wanita TUDM Cekap Dan Berani Setanding Lelaki

Ruang udara yang terbentang luas tidak sedikit pun menggentarkan juruterbang wanita pertama Asia yang mengendalikan pesawat pejuang MiG-29 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Mejar Patricia Yapp Syau Yin, 41, dari Sandakan, Sabah yang berpengalaman selama 20 tahun dalam TUDM, keberanian dan kecekapannya mengendalikan pesawat pejuang itu menjadikannya setanding dengan juruterbang lelaki.

“Saya berpengalaman sebagai juruterbang pesawat pejuang selama lima tahun dari 2003 hingga 2007 sebelum ditugaskan menjadi jurulatih pesawat pelatih Pilatus PC-7 MKII di Kolej Tentera Udara Alor Setar, Kedah,” katanya yang sememangnya sejak kecil berminat dan berhasrat menerbangkan pesawat juang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Hari Bersama Media sempena sambutan Hari TUDM ke-59 yang bertemakan ‘Kuasa Udara, Tonggak Kedaulatan Negara’ di Pangkalan Udara Labuan baru-baru ini.

Katanya, sepanjang berkhidmat dalam TUDM, beliau pernah membawa dua jenis pesawat pejuang iaitu MB-339 dan MiG-29 dan kedua-dua pesawat berkenaan mempunyai kisah pahit tersendiri.

​​​​​​​”Detik cemas saya alami ketika menerbangkan MB-339 apabila enjinnya bermasalah dan mengeluarkan api, ketika itulah saya buat ‘Mayday Call’ yang mana orang akan beri keutamaan kepada kita untuk mendarat di landasan.

Juruterbang TUDM Wanita Cekap & Berani

“Bagi MiG-29 pula ketika berada di ruang udara yang paling tinggi saya kekurangan oksigen dan waktu itu saya terlelap beberapa saat sebelum menekan butang khas oksigen, yang terus masuk ke ruangan kokpit,” kata Patricia.

Bagi juruterbang helikopter TUDM wanita pertama di Malaysia, Left Kol Norhana Abdul Manaf, 43, menyertai bidang yang didominasi lelaki adalah cabaran terbesar dalam hidupnya.

Berpengalaman dalam TUDM selama 23 tahun, beliau tidak menyangka cita-citanya untuk menjadi juruterbang helikopter tercapai.

“Alhamdulillah dengan galakan serta semangat daripada keluarga dan rakan-rakan seperjuangan menjadikan diri saya seorang yang berani dan tidak gentar apabila membawa helikopter ketika melaksanakan apa jua operasi TUDM,” katanya.

Beliau berkata peristiwa yang tidak dapat dilupakan semasa bertugas ialah apabila helikopter yang dikendalikannya ketika menyertai misi pertama operasi perkhidmatan doktor udara mengalami masalah teknikal.

Katanya heli​​​​​​​kopter yang membawa doktor dan bekalan perubatan ke kawasan pedalaman Orang Asli itu tidak dapat balik ke pangkalan dan mereka terpaksa bermalam di kawasan itu selama tiga hari sementara menunggu bantuan. – BERNAMA