Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Annuar Musa Lahir Rasa Lega Lepas Jawatan Pengerusi MARA

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa melahirkan perasaan lega selepas kontraknya sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berakhir dan tidak disambung semula semalam.

Annuar berkata keputusan untuk tidak menyambung semula jawatan tersebut memberikan kebebasan kepada beliau untuk bersuara terhadap sesuatu isu tanpa dibayangi oleh jawatannya dalam agensi berkenaan.

Kata Annuar, beliau lebih memilih kebebasan untuk bersuara berbanding jawatan seandainya diberi pilihan.

“Kalau saya duduk di Mara dan dilantik oleh orang, saya tak bebas bersuara. Jadi mulai hari ini saya bebas kerana dah lepaskan jawatan.

“Jika tak, saya kena cakap apa yang diputuskan saja. Antara kebebasan bercakap dengan jawatan, saya pilih untuk bebas,” katanya seperti dipetik dalam laporan sebuah akhbar.

Tambahnya lagi, keputusan untuk tidak menyambung kontrak itu dibuat atas dasar prinsip kerana mempunyai banyak perbezaan pendapat terutama berkaitan hala tuju agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu.

“Ini (tidak sambung kontrak) atas dasar prinsip. Kalau ada perbezaan pendapat, kalau kita rasa nak pertahankan pendapat, kita mesti berhenti. Itu prinsip.”

Kontrak beliau berakhir telah berakhir semalam dan surat pertimbangan agar pelantikan semula tidak disambung pula telah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2 Ogos lalu.

Penggantungan jawatan beliau sebagai Pengerusi MARA pada Januari lalu menimbulkan kontroversi apabila wujud dakwaan bahawa beliau menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tajaan bagi pasukan bola sepak Kelantan.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan terbabit dan telah diarahkan bercuti semenjak tujuh bulan lalu.