Hadi, Tuan Ibrahim Kekal Jawatan Dalam Pas

Presiden Pas, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing apabila tidak dicabar pada pemilihan sempena Muktamar Pusat ke-63 yang bakal berlangsung di Kedah, hujung April ini.

Jawatan naib presiden pula menyaksikan tiga penyandang sedia ada – Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad akan dicabar oleh Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan, Nasrudin Hassan.

Pengerusi Tetap, Hussin Ismail dan Timbalannya, Kamal Shaari masing-masing turut mempertahankan jawatan apabila tiada mana-mana individu menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut.

Takiyuddin dalam kenyataan kepada media berkata seramai 40 orang dicalonkan untuk jawatan anggota Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi mengisi 18 kekosongan.

Beliau berkata, Muktamar PAS Pusat ke-63 ini akan memilih barisan kepimpinan baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Peraturan pemilihan kali ini memerlukan sekurang-kurangnya 10 pencalonan untuk layak disenaraikan sebagai calon dalam pemilihan pada muktamar PAS kali ini berbanding dengan dua pencalonan sebelum ini,” katanya.

Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat PAS akan mengadakan muktamar di peringkat masing-masing mulai 27 April, manakala Muktamar PAS ke-63 akan pada 29 April hingga 1 Mei ini.